Tahun 2005, Nizam Razak dan beberapa rakan MMUnya duduk berbincang dalam kediaman mereka, fikir idea untuk projek tahun akhir. Tarikh akhir dah dekat, tapi mereka masih tak ada konsep yang mantap. Lepas tu Safwan Abd Karim cadang sesuatu yang mudah - cerita pasal orang tua kat rumah warga emas yang nak menyelinap masuk bilik televisyen lepas kena halau jururawat.
Misi Mustahak, sebuah projek akhir tahun pelajar MMU.
Filem pendek 8 minit yang mereka namakan "Misi Mustahak" tu akhirnya menang anugerah antarabangsa dan buka jalan untuk mereka masuk industri animasi. Yang menarik, projek simple tu kemudiannya jadi pencetus kepada tiga syarikat animasi terbesar Malaysia. Usamah Zaid Yasin, salah seorang dari kumpulan asal, kemudian tubuhkan WAU Animation yang melahirkan francais Ejen Ali - filem terbaru mereka, Ejen Ali The Movie 2, baru-baru ni pecah rekod dengan kutipan lebih RM55 juta. Sementara itu, Nizam Razak dan Safwan Abd Karim pula menubuhkan apa yang akan jadi Monsta Studios.

Hari ni, lebih sedekad setengah selepas Monsta ditubuhkan, syarikat yang bermula dengan sebuah semangat dan impian dah hasilkan kutipan pawagam lebih RM63 juta dari francais BoBoiBoy dan Mechamato sahaja. Kalau dikira keseluruhan kutipan pawagam dari semua syarikat yang lahir dari projek MMU asal tu - termasuk Ejen Ali dan Upin & Ipin - jumlahnya mencecah RM174 juta. Lebih mengagumkan lagi, watak-watak yang Monsta cipta sekarang dikenali kat 44 negara dan jadi kebanggaan Malaysia kat peringkat global.
Kelahiran Sebuah Empayar

Pada 15 September 2009, empat orang bekas pekerja Les' Copaque Production yang juga alumni MMU - Mohd Nizam Abd Razak, Muhammad Anas Abdul Aziz, Mohd Safwan Abd Karim dan Kee Yong Pin - ambil keputusan berani untuk tubuhkan syarikat sendiri. Mereka namakan syarikat tu Animonsta Studios, yang kemudian dikenali sebagai Monsta Studios.
Keputusan untuk berhenti bukanlah mudah. Kat situ mereka dah tengok sendiri macam mana animasi tempatan boleh jadi fenomena global. Tapi visi mereka berbeza - mereka nak cipta wira Malaysia yang boleh bersaing dengan superhero antarabangsa. Masa tu, konsep superhero tempatan dalam animasi moden masih asing kat Malaysia. Kebanyakan kandungan animasi tempatan fokus pada cerita keluarga atau komedi. Monsta berani ambil risiko dengan genre yang belum ditest di pasaran Malaysia.
Modal permulaan mereka terhad, tetapi bakat dan kemahiran mereka menjadi jadi aset paling berharga. Mereka faham yang industri animasi bukan sekadar tentang buat kartun - ia tentang bina harta intelek yang boleh bertahan lama dan menghasilkan pendapatan dari pelbagai sumber.
BoBoiBoy: Revolusi Superhero Malaysia

Dua tahun selepas Monsta ditubuhkan, pada 2011, mereka perkenalkan dunia dengan BoBoiBoy - budak 11 tahun dengan kuasa elemen yang boleh pecah diri jadi beberapa watak dengan personaliti berbeza. Konsep ni genius sebab ia mudah difahami kanak-kanak tapi cukup kompleks untuk menarik penonton dewasa.
Yang menarik tentang BoBoiBoy, watak ni tetap mempertahankan identiti Malaysia walaupun beroperasi dalam genre superhero yang biasanya didominasi budaya Barat. Dia makan nasi lemak, cakap Bahasa Malaysia, dan ada nilai-nilai yang familiar dengan penonton tempatan. Pada masa sama, tema persahabatan, keberanian, dan melindungi keluarga adalah universal.

Strategi ni terbukti berkesan. Dalam masa singkat, BoBoiBoy dah disiarkan kat 44 negara, dari TV3 dan NTV7 secara tempatan, sampai Disney Channel Asia secara serantau. Ini bukan pencapaian kecil - ini adalah kandungan Malaysia yang bersaing pada tahap yang sama dengan pengeluaran antarabangsa.
Kejayaan BoBoiBoy bukan kebetulan. Monsta melabur sejumlah wang yang besar dalam pembangunan watak dan pembinaan dunia. Mereka faham yang untuk berjaya jangka panjang, mereka perlukan lebih dari sekadar siri animasi - mereka perlukan alam semesta yang lengkap dengan mitologi, sejarah belakang, dan potensi untuk berkembang.
Model Perniagaan Yang “Scalable”





Apa yang buat Monsta berbeza dari studio animasi lain adalah pendekatan holistik mereka terhadap perniagaan. Dari awal lagi, mereka rancang syarikat bukan sekadar sebagai pencipta kandungan, tapi sebagai pembangun dan pemilik harta intelek.
Berdasarkan laporan Digital News Asia, 50% dari hasil Monsta datang dari harta intelek watak, khususnya dari pelesenan dan barangan. Ini mengikut standard industri untuk syarikat animasi yang berjaya - barangan dan pelesenan biasanya menyumbang 75% dari jumlah hasil untuk harta animasi yang popular.

Monsta juga perintis dalam penggunaan platform digital. Saluran Monsta kat YouTube bukan sekadar platform pengedaran untuk kandungan asal mereka. Mereka juga dapat perjanjian lesen eksklusif untuk harta antarabangsa macam Beyblade Burst dan Pokémon Sun & Moon di Malaysia, menjadikan mereka satu-satunya saluran YouTube kat Malaysia yang ada lesen rasmi untuk strim kandungan ni.
Transformasi dari pencipta kandungan kepada pemilik platform ni strategik sebab ia diversifikasi portfolio kandungan mereka, tingkatkan penglibatan dan pengekalan penonton, dan cipta sumber pendapatan tambahan dari perjanjian pelesenan.
Mechamato: Copy, Paste and Grow!

Selepas kejayaan BoBoiBoy, soalan besar adalah sama ada Monsta boleh ulangi kejayaan tu. Jawapannya datang dalam bentuk Mechamato pada 2022 - cerita yang fokus pada robot yang boleh tukar objek harian jadi alat berteknologi tinggi.
Filem Mechamato kutip RM18.3 juta dalam 11 hari, menjadikannya antara filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi. Yang menarik, cerita ni berbeza sepenuhnya dari BoBoiBoy, membuktikan yang Monsta bukan sekadar syarikat satu hit tapi studio yang mampu cipta pelbagai jenis kandungan yang menarik.




Inspirasi untuk Mechamato datang dari pemerhatian kehidupan sebenar - Nizam Razak tengok anak-anak main dengan kotak kadbod dan bayangkan jadi kereta kebal dan objek lain. Ini tunjukkan yang proses kreatif Monsta berakar dalam pengalaman yang boleh dikaitkan, bukan sekadar cuba tiru formula yang dah berjaya.
Kejayaan Mechamato juga buka pintu untuk ekspansi antarabangsa yang lebih luas. Filem ni dah masuk pasaran Jepun, pencapaian yang penting memandangkan betapa selektifnya penonton Jepun terhadap kandungan asing.
Cabaran dan Pembelajaran

Walaupun nampak glamor dari luar, perjalanan Monsta tak selalu tenang. Salah satu cabaran terbesar yang mereka hadapi adalah kekurangan bakat dalam industri animasi Malaysia. Menurut Anas Abdul Aziz, Ketua Pegawai Kandungan Animonsta, talent animasi di Malaysia "berat atas" - kebanyakan eksekutif masuk industri dengan kemahiran technical production yang kuat, tapi apa yang studio macam Monsta perlukan adalah orang dengan kemahiran seni, penulisan cerita, dan pengarahan.
Persaingan juga makin sengit. Masa Monsta mula beroperasi, landskap animasi tempatan agak kosong. Sekarang ada banyak pemain, dan penonton ada lebih banyak pilihan. Ini buat ia lebih mencabar untuk buat produk dan jadikan ia kejayaan besar.

Cabaran lain adalah mengimbang identiti tempatan dengan daya tarikan global. Monsta kena pastikan kandungan mereka cukup universal untuk penonton antarabangsa faham dan hargai, tapi pada masa sama tak kompromi nilai dan identiti Malaysia.
Masa Depan Yang Cerah

Hari ni, Monsta tengah terokai sempadan baharu. Mereka melabur dalam teknologi kecerdasan buatan dan analitik, bereksperimen dengan aplikasi permainan maya, dan bangunkan platform pengalaman digital untuk peminat.
Visi mereka untuk masa depan bukan sekadar tentang cipta lebih banyak kandungan animasi. Mereka nak bina ekosistem hiburan menyeluruh yang termasuk platform strim langsung untuk penglibatan penonton masa nyata, bahagian permainan untuk hiburan interaktif, kandungan pendidikan untuk pemindahan ilmu, dan penyelesaian teknologi untuk pencipta kandungan lain.









Monsta juga aktif dalam membimbing generasi akan datang pencipta kandungan. Nizam dan pasukan kerap bercakap kat persidangan dan acara bertemakan ekonomi kreatif, berkongsi pandangan dan amalan terbaik dengan animator dan usahawan yang bercita-cita tinggi.
Warisan Yang Berterusan

Dari modal terhad pada 2009 ke empayar yang hasilkan puluhan juta ringgit hari ni, kisah Monsta adalah bukti kepada kuasa visi, kegigihan, dan pemikiran strategik. Mereka bukan sekadar bina syarikat yang berjaya - mereka ubah persepsi tentang kandungan Malaysia.
Yang paling penting, mereka tunjukkan yang untuk berjaya di peringkat antarabangsa, syarikat Malaysia tak perlu hilang identiti tempatan. Malah, identiti tu boleh jadi kelebihan daya saing kalau dipersembah dengan cara yang betul.