Buat Startup Dalam Industri Media dan Kaut Keuntungan RM100 Juta dalam Masa 5 Tahun!

Bagaimana sebuah blog bertukar jadi aset bernilai ratusan juta dan menyelamatkan syarikat media terbesar Malaysia

by YouthOS

Buat Startup Dalam Industri Media dan Kaut Keuntungan RM100 Juta dalam Masa 5 Tahun!

Share

Kalau korang fikir yang kejayaan dalam dunia digital ni datang secara tiba-tiba, cerita REV Asia akan buka mata korang. Ini bukan kisah tentang nasib baik atau timing yang kebetulan. Ini adalah masterclass dalam strategi startup yangmengubah landskap media Malaysia selama-lamanya.

Tahun 2017, bila Media Prima mengumumkan pembelian REV Asia Holdings dengan harga RM105 juta, ramai yang terperanjat. Mahal sangat ke untuk syarikat media digital? Tapi hari ni, lapan tahun kemudian, jawapannya jelas; ia adalah salah satu keputusan terpandai dalam sejarah korporat Malaysia.

Evolusi Pelbagai Jenama

Cerita bermula sebelum tahun 2010 dengan blog kecil bernama YouthSays. Joel Neoh dan rakan-rakannya sedang mencari formula untuk mencipta sebuah platform yang mampu menarik tumpuan perhatian semua anak muda dengan kandungan yang menarik dan lain daripada yang lain. Mereka sedar yang anak muda negara ni bosan dengan kandungan yang tidak relevan dengan kehidupan seharian mereka terutamanya yang terpapar di media tradisional.

Dalam perjalanan mencari identiti yang sebenar, YouthSays ini juga melancarkan 8share; mencerminkan fokus mereka pada kandungan yang boleh dikongsi secara viral dalam media sosial. Masa tu, blog dan media sosial sedang menjadi fenomena besar, dan mereka mahu meletakkan diri sebagai platform yang pakar dalam kandungan yang boleh dikongsi dan mendapat tarikan orang ramai.

Namun, transformasi sebenar berlaku apabila YouthSays dan 8Share bertukar menjadi SAYS.com. Jenama yang digabungkan dengan nama yang ringkas dan mudah diingat ini mencerminkan sifat perbualan kandungan mereka. Dalam masa yang singkat, SAYS menjadi destinasi utama pengguna internet muda Malaysia untuk mengetahui apa yang sedang trending. Platform ini berjaya menawan jiwa pembaca dengan kandungan yang viral, mudah difahami, dan yang paling penting; untuk orang Malaysia.

Tapi Joel Neoh dan pasukannya melihat SAYS hanya sebagai permulaan. Mereka mempunyai visi yang lebih besar untuk membina ekosistem media digital yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa..

Zaman Koboi Digital

Landskap media digital Malaysia sebelum ini benar-benar seperti zaman koboi. Terdapat beratus-ratus blog, pencipta kandungan, forum, platform kecil dan media sosial dalam pasaran, dan semuanya bersaing untuk mendapat perhatian yang sama. Namun, tiada satu pun syarikat di Malaysia yang mempunyai skala, modal atau sumber yang boleh menguasai industri digital secara total.

REV Asia mula wujud selepas penggabungan antara Catcha Media dengan SAYS yang bernilai sekitar RM60 juta yang menyatukan kekuatan modal, penciptaan kandungan sosial dan pengedaran viral untuk pengguna internet Malaysia. Joel Neoh dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Khailee Ng sebagai pengasas bersama, dan Patrick Grove, yang merupakan pemilik Catcha Media, sebagai penasihat strategik. Ini bukan sekadar penjenamaan semula, tetapi langkah pertama kepada strategi yang jauh lebih besar.

Pengasas REV Asia melihat kekacauan ini sebagai peluang emas. Daripada cuba bersaing dengan semua orang, mereka memutuskan untuk menyatukan semua syarikat kecil yang berada dalam pasaran melalui pengambilalihan strategik. Ideanya mudah tetapi genius; beli platform yang sudah mempunyai peminat dan kandungan yang sedia ada, kemudian integrasikan mereka dalam satu ekosistem yang lebih besar.

Strategi Bermula

Strategi mereka diteruskan secara lebih fokus dalam sektor media digital. Mereka mengenal pasti platform atau blog yang mempunyai penonton yang kuat, cara buat duit yang kukuh, dan keserasian strategik dengan SAYS sebagai tunjang rangkaian, lalu mengambilalih platform tersebut. 

Setiap pembelian mesti mempunyai tujuan yang jelas; sama ada untuk memperluaskan demografi penonton, memasuki kategori kandungan baharu, atau memperkukuh keupayaan sedia ada.

Yang bijak tentang pendekatan ini adalah mereka tidak ubah apa selepas pengambilalihan. Sebaliknya, identiti, jenama dan cara berhubung dengan penonton dikekalkan, tetapi operasi dan admin diambil alih oleh SAYS. Ini memastikan kesetiaan penonton terus terjaga, tetapi kos operasi menurun dan keuntungan semakin meningkat.

Bina Portfolio Yang Strategik

REV Asia telah mengukuhkan portfolio melalui beberapa pengambilalihan strategik. OH BULAN! menjadi pintu masuk kepada segmen berita selebriti dan menguatkan pegangan terhadap demografik Melayu yang sentiasa mendominasi trafik harian di Malaysia. ViralCham berfungsi sebagai pusat utama pengedaran kandungan untuk semua platform dibawah SAYS, memastikan setiap kandungan viral dapat disekalikan dan diedarkan semula dengan konsisten merentasi semua platform di dalam dan diluar ekosistem SAYS termasuk di media sosial. ROJAKLAH membawa REV Asia masuk ke kategori kandungan makanan; satu segmen yang mempunyai daya tarikan universal, dan juga membuka peluang kepada pengiklan industri F&B sambil mengukuhkan nilai kandungan tempatan yang dekat dengan pengguna Malaysia. Semua platform ini mengukuhkan kedudukan SAYS yang terus berperanan sebagai sumber utama berita dan isu semasa.

Walaupun nilai setiap pengambilalihan tidak didedahkan sepenuhnya, gabungan platform ini berjaya mencatatkan pendapatan RM23.4 juta dengan keuntungan sekitar RM6 juta pada tahun 2016.

Tahu Bila Nak Jual

Menjelang 2017, Media Prima berada dalam fasa kritikal apabila pendapatan media tradisional semakin merosot dan dipecahkan oleh syarikat digital. Beberapa cubaan membina keupayaan digital secara organik tidak berjaya untuk memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah. REV Asia menjadi jawapan paling tepat. Daripada memulakan semuanya dari kosong, Media Prima memilih untuk membeli sebuah rangkaian digital sedia ada dengan 10.4 juta pelawat unik bulanan, model penjanaan pendapatan yang terbukti dengan RM23.4 juta hasil tahunan dan RM6 juta keuntungan bersih, serta demografi penonton muda yang strategik untuk jangka masa panjang.

Pada Mei 2017, Media Prima mengumumkan pengambilalihan penuh REV Asia Holdings dengan harga RM105 juta. Perjanjian yang pada ketika itu kelihatan mahal, akhirnya terbukti sebagai langkah strategik yang meletakkan asas transformasi digital kumpulan media terbesar di Malaysia.

Jadi Punca Kejayaan Pada Pembeli

Selepas berada di bawah Media Prima, REV Asia meneruskan strategi konsolidasinya dengan lebih laju. Pada Jun 2018, REV Asia melalui Media Prima Digital membeli 52% pegangan dalam Vocket Media Sdn Bhd dengan nilai sekitar RM2.6 juta; satu langkah penting yang membawa masuk segmen pelancongan, gaya hidup dan urban melayu yang lebih dekat dengan pengguna internet berpendapatan sederhana dan tinggi.

Seterusnya, pada September 2020, REV Asia mengumumkan perjanjian untuk mengambil alih iMedia Asia Sdn Bhd, sebuah rangkaian platform digital dan pemasaran influencer; satu industri yang pada masa itu semakin berkembang pesat. Pengambilalihan ini disempurnakan sepenuhnya pada Mac 2023 dengan nilai sekitar RM43.92 juta. Melalui iMedia, REV Asia menambah kekuatan dalam segmen pemasaran kandungan, pengiklanan digital, penjenamaan digital dan akses kepada rangkaian influencer; membuka demografik penonton baru kepada lebih 12 juta rakyat Malaysia dengan akses kepada pelbagai jenama besar yang sedia bayar untuk servis digital.

Dengan rangkaian baru ini, REV Asia terus memainkan peranan sebagai nadi transformasi digital Media Prima; bukan sekadar mengurus kandungan hiburan semata-mata tetapi memperkukuh sumber pendapatan baharu dalam era penonton digital yang menjadi telah berevolusi menjadi industrinya tersendiri.

Win-Win, Bukan Zero Sum Game

Integrasi REV Asia dengan Media Prima mencipta kesan serta-merta yang mengagumkan. Sumbangan pendapatan digital meningkat daripada hampir kosong kepada 20 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan syarikat dalam tempoh dua tahun. Pendapatan kekal stabil walaupun pasaran media tradisional menurun, dan margin keuntungan bertambah baik melalui penggabungan admin dan operasi.

Media Prima menjadi platform media digital ketiga terbesar di Malaysia selepas Facebook dan Google. Pakej pengiklanan merentas platform menjadi popular dengan pengiklan, dan kredibiliti jenama dalam ruang digital terjalin dalam sekelip mata.

Prestasi saham Media Prima yang sebelum ini bergelut di sekitar RM0.30 hingga RM0.40 pada 2017-2018 pulih kepada RM0.50 hingga RM0.60 pada 2019-2021, sebahagiannya didorong oleh kejayaan transformasi digital.

Jangkauan gabungan REV Asia dengan aset media tradisional mencipta ekosistem berkuasa yang menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada pengiklan; sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh mana-mana syarikat media digital ataupun media tradisional.

Kempen bersepadu yang merentangi saluran digital dan tradisional membolehkan Media Prima mengenakan harga premium. Kepakaran media tradisional dalam piawaian editorial bergabung dengan ketangkasan digital dan keupayaan penglibatan penonton. Hasil gabungan ini adalah platform yang unik dalam pasaran Malaysia.

Pengajaran Utama

Kisah kejayaan REV Asia menyediakan pelan tindakan startup yang boleh ditiru. Pertama, kenal pasti pasaran yang berpecah-belah dengan beberapa pemain kecil tetapi tiada syarikat dominan. Kedua, bina perkongsian strategik untuk mendapat akses kepada modal dan kepakaran. Ketiga, kekalkan apa yang berkesan dan jangan musnahkan apa yang telah diambilalih. Keempat, fikir seperti orang yang akan membeli anda; bina sebuah syarikat yang menarik dan bakal menghasilkan keuntungan yang strategik jika digabungkan. Kelima, bincang dengan syarikat yang ingin membeli anda, bantu mereka untuk menggabungkan operasi dan terus diresap sebagai sebahagian daripada syarikat pembeli.

Dalam masa kurang daripada lima tahun, REV Asia berubah daripada pemain digital kecil kepada aset strategik bernilai RM105 juta yang menyelamatkan Media Prima daripada ketinggalan ditelan zaman.

Perjalanan daripada YouthSays kepada 8share kepada SAYS kepada REV Asia dan terus dibeli oleh Media Prima menunjukkan bahawa dengan idea yang betul, pelaksanaan yang cekap, dan masa yang tepat, sebuah startup mampu berjaya walaupun makan masa yang lama dan pelbagai jenama yang berbeza.